Tuesday, July 17, 2018

Sosial Kapital

Cuba tengok orang Jepun, balik tengok bola kemas stadium dulu..
Kalah main bola, kemas bilik persalinan dulu,
Sopan santun..
Dengar cakap orang tua..
Bagus orang Jepun ni..
Negara kita patut jadi macam Jepun..
Maju, tapi masih berpegang pada budaya..
Bijak, pengemas dan berdisiplin..

Betul tu, semua salah atuk dengan nenek ko pergi lawan diorang masa diorang jajah kita dulu..Kan indah negara kita sekarang kalau kita jadi orang Jepun..

Huh??

Tak best? Kita halau je semua orang Malaysia ni, gantikan dengan orang Jepun..mesti orang Jepun-Malaysia tu jadi bijak, pengemas dan berdisiplin...

Wednesday, July 11, 2018

Mitos Pekerja Asing di Malaysia



Orang Malaysia memang ada prasangka negatif yang mendalam terhadap Pekerja asing. Pekerja asing ini dikatakan merampas pekerjaan penduduk tempatan, menurunkan produktiviti negara dan penyumbang utama kepada jenayah di Malaysia.

Betul ke?
Untuk mengajar mereka yang #uneducated, data menunjukkan sebaliknya, data merekodkan apabila semakin ramai pekerja asing datang ke Malaysia semakin tinggi peningkatan ekonomi dan taraf hidup penduduk asal Malaysia. What? Bangla isi minyak itu menyebabkan kehidupan makin senang? Ini merupakan satu penipuan..

Sebelum datang Malaysia, saya jadi model bro

Okay, kita lihat fakta-faktanya:
Jumlah pekerja asing berdaftar di Malaysia adalah sekurang-kurangnya seramai 2 juta orang dan mereka yang tidak berdaftar (illegal) dijangkan dari 2-3 juta orang.
Populasi penduduk tempatan Malaysia adalah sebanyak 31 juta orang. Hampir separuh pekerja asing berdaftar berasal dari Indonesia, diikuti Nepal dan Bangladesh, bakinya dari pelbagai negara seperti India, Myanmar, Pakistan, Filipina dan Vietnam.
Kebanyakan diorang ni terdiri daripada pekerja separa mahir dan tidak mahir yang mendominasi sektor pembuatan, pertanian, pembinaan dan perkhidmatan. Semestinya dengan populasi menghampiri 15% penduduk, pekerja asing ini akan memberikan kesan positif atau negatif kepada kita sebagai penduduk tempatan. Betul tak?

Mitos 1: Pekerja Asing merampas pekerjaan penduduk tempatan.

“Disebabkan gaji dibayar oleh pekerja asing ini rendah maka gaji kita pun rendah dan makin ramai pekerja asing jadi dia mula ambil kerja yang sepatutnya dibuat pekerja tempatan malah lagi ramai pekerja asing lagi sikit orang kita,”
Rafizi Ramli, 2017

Pekerja asing dikatakan merampas pekerjaan bagi penduduk tempatan, dengan mengambil gaji yang lebih rendah, mereka menyebakan kejatuhan dalam gaji minimum orang tempatan. Kesian orang Malaysia, tiada kerja di tanah sendiri, seolah-olah “Kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan”. Masalahnya, kadar pengangguran negara adalah sangat rendah. Kadar pengangguran negara hanya berada sekitar 3.4% sahaja. Malahan jika dilihat semasa sebelum kemasukan pekerja asing secara besar-besar pada awal 90an, kadar pengangguran negara adalah pada tahap 4.5%. 


Laporan bertajuk “Malaysia Economic Monitor: Immigrant Labour” juga menunjukkan dengan kedatangan 10 pekerja asing akan menyebabkan wujudnya 5.2 pekerjaan baru kepada penduduk tempatan dan peningkatan 1.1% kepada GDP negara. Data menunjukkan kedatangan pekerja asing bukan sahaja menambah peluang pekerjaan penduduk tempatan, malahan meningkatkan ekonomi negara.

 
Bagaimana ini boleh berlaku?

Teori paling mudah untuk menerangkan situasi ini adalah: bila pekerja asing datang ke Malaysia, populasi penduduk juga akan bertambah menyebabkan berlakunya pertambahan dalam produktiviti barang keperluan dan dalam jangka panjang menyebabkan berlakunya pertambahan dalam pekerjaan dan meningkatkan upah gaji.

“Menurut teori neoklasik, input menyumbang secara positif kepada output. Maka peningkatan dalam pengambilan pekerja asing ini menyumbang kepada bilangan guna tenaga dan meningkatkan output negara. Setiap aktiviti ekonomi memerlukan permintaan yang tinggi dan sentiasa meningkat”
Rahmah Ismail, 2016

Sukacita dimaklumkan tahap akademik orang Malaysia sudah semakin meningkat sejak dari 1990 hingga kini. Unskilled workers semakin berkurangan. Perubahan akademik juga menyebabkan perubahan dalam bidang yang ingin diceburi (ada degree law mesti la sebolehnya nak jadi lawyer, betul tak?). Orang Malaysia mula mencari pekerjaan yang memerlukan kemahiran yang tinggi. Jadi, jika sebelum ini majoriti pekerja Malaysia berada di sektor pertanian, kini majoriti pekerja Malaysia berubah kepada bidang perindustrian dan perkhidmatan.


“Rakyat kita memilih kerja. Mereka mahukan gaji berpatutan dengan senario kewangan masa kini dan tidak suka bekerja pada sektor yang dilihat kotor dan memenatkan”
Shamsuddin Bardan, 2015

Berdasarkan data, boleh disimpulkan, kemunculan pekerja asing sebenarnya terjadi kerana bertambahnya permintaan pekerja di bahagian labor intensive sector. Umum mengetahui pekerja asing majoritinya di dalam sektor 3d jobs (dangerous, dirty and difficult). Untuk mengisi kekosongan ini,pekerja asing yang berkemahiran rendah mengisi jurang tenaga kerja yang ditinggalkan penduduk tempatan selepas peningkatan kelayakan akademik sekaligus  mengurangkan kos pengeluaran dan mengembangkan pengeluaran dan eksport. Hasilnya, kenaikan gaji dan tenaga kerja tidak mahir dari pekerja asing meningkatkan pelaburan dan permintaan pekerjaan bagi rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi. 


Mitos 2: Majoriti Pekerja Asing melakukan jenayah

Jadi, jika kita lihat isu pekerja asing ini dari sudut ekonomi, ia adalah baik untuk negara. Tapi, kita sedar isu pekerja asing di Malaysia ni bukan sekadar isu ekonomi. Isu yang paling diuar-uarkan adalah pekerja asing membawa kepada jenayah.  Buka sahaja suratkhabar, pasti akan ada penulisan menunjukkan bahawa pekerja asing sebagai kejam dan mengerikan. Majoriti mereka adalah pengganas yang akan menghukum and terleka dan dibuai angan-angan. 

“Ia adalah norma bagi pendatang asing untuk merogol wanita tempatan,”
A. Rajaretinam, 2016

Mereka yang menyatakan ini selalunya juga akan memberikan fakta-fakta seperti kadar jenayah Malaysia semakin meningkat dari tahun ke tahun. Malaysia mendapat kedudukan tertinggi (Yeah...) dalam jenayah di Asia (wuu…). Tetapi, data kadar jenayah menunjukkan bilangan jenayah di Malaysia telah jatuh sehingga 47% dalam 6 tahun ini. Dan dari keseluruhan jenayah di Malaysia, hanya 11% dilakukan oleh pendatang asing. 

Jadi, dimana sebenarnya pendatang asing yang ganas, kejam dan mengerikan itu? Kajian dari Universiti Kebangsaan Malaysia menunjukkan media mensensasikan jenayah yang dilakukan pendatang asing  untuk menambahkan nilai drama dan sekaligus menambah pembaca berita tersebut.
Gambar Sumber dari "curi internet"

Ada yang akan kata, ini data untuk mereka yang masuk mengikut undang-undang. Saya bangkang yang masuk tanpa izin. Diorang ni yang bawak masalah. Jadi, apa yang perlu kita buat kepada mereka yang masuk secara tanpa izin ini? 

“Cukuplah kita terasa seperti di Nepal, Bangladesh, India dan Indonesia ketika keluar berjalan di hujung minggu sedangkan hakikatnya kita berada di bumi Malaysia sendiri.”
Remaja, 2018

Gambar sumber dari Sinar Harian

Hantar mereka pulang ke negara mereka sendiri adalah jawapan yang paling biasa kita dengar. Dari sudut ekonomi, membuang penduduk adalah cara yang paling tidak diterima akal. Majoriti kajian menunjukkan dengan memberikan hak bekerja secara legal kepada pekerja illegal ini akan memberikan pulangan positif kepada negara. Mereka yang illegal menjadi legal akan mendapat lebih banyak peluang pekerjaan yang setaraf dengan kemahiran mereka sekaligus menjadikan pasaran lebih aktif dan kuasa membeli meningkat. Ini akan memberikan kesan tidak langsung kepada penjual lain dengan menambah bilangan mereka yang mempunyai kuasa membeli. Ini sekali lagi menambahkan produktiviti yang juga secara tidak langsung menambahkan peluang pekerjaan. 

Ini bukan saya je saja-saja cakap, bekas Perdana Menteri Ke-4 pernah menyatakan bahawa negara perlu membantu mereka yang datang ke negara ini secara haram dan memberikan mereka kerakyatan. 

“If you like, you could give them citizenship. If you look as if illegal immigrants can get citizenship, that is the opinion of the officer concerned. This happens a lot where many of our neighbors do not want to accept their own citizens and we cannot just throw them into the sea, we have to be considerate. That is our view, or at least that was my view when I was the prime minister and even the current PM does not tell these people to go off,”
Mahathir Mohamed, 2013

Konklusinya

Tidak dinafikan lambakan pekerja asing akan juga membawa kesan negatif kepada masyarakat dan negara. Apakah jalan penyelesaiannya?

Pakar ekonomi dari World Bank menyatakan perkara ini boleh dielak jika kerajaan Malaysia tidak menggunakan agensi ketiga sebagai orang tengah dalam membawa pekerja asing ke Malaysia. Majikan sepatutnya diletakkan tanggungjawab secara terus dalam pengambilan. Ini sekaligus akan mengurangkan kos orang tengah dan akauntabiliti yang jelas mengenai siapa yang bertanggungjawab dalam penjagaan pekerja asing. 

Dalam sistem sekarang, tidak jelas siapa yang akan bertanggungjawab menghantar pekerja asing yang tamat kontrak pulang ke negara asal mereka. Majoriti pekerja asing bukanlah datang ke Malaysia pakai bot tengah-tengah malam tapi mereka cuma masih berada di Malaysia walaupun kontrak pekerjaan mereka tamat. Kadangkala passport mereka dipegang oleh majikan yang mengambil kesempatan.

Malahan perlu diingatkan migrasi bukanlah asing sangat ceritanya dalam sejarah. Kita semua pun sebenarnya adalah wakil mereka yang berhijrah. Cuma moyang kita sampai awal sikit je dari pekerja asing ni. Dalam Islam sendiri penghijrahan adalah satu benda yang besar sampai kita mulakan Tarikh 1 mengikut Tarikh penghijrahan dari Mekah ke Madinah yang merupakan titik tolak permulaan kepada kenaikan agama tercinta ini. Mengikut ajaran Islam, Allah telah menyatakan setiap inci tanah di bumi ini adalah milikNya dan siapa kita tak bagi orang lain guna?

*Penulisan ini lebih kepada pekerja asing sukarela bukan paksaan, sebab kalau paksaan ni banyak lagi ceritanya. Di mana pekerja paksaan ini kebanyakannya dihantar menjadi hamba seks, mangsa sindiket peminta sedekah dan banyak yang pelik-pelik lagi. Artikel ini menumpukan kepada mereka yang datang secara sukarela sama ada mengikut undang-undang atau tidak mengikut undang-undang.